fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup kukuh

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Pasaran getah Malaysia ditutup kukuh pada Khamis berikutan sentimen pasaran dipengaruhi data perdagangan terkini China yang positif dan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan mengurangkan kadar faedah bermula pada 2024, kata seorang peniaga.

Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dikekang oleh prestasi lemah daripada pasaran niaga hadapan getah serantau, penurunan penanda aras harga minyak mentah serta pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, katanya.

“Lebihan dagangan China mencatatkan pertumbuhan lebih daripada jangkaan dalam tempoh dua bulan pertama 2024, mendapat rangsangan sebahagiannya daripada pengukuhan permintaan eksport, manakala import disokong oleh peningkatan perbelanjaan percutian.

“Imbangan perdagangan China bagi tempoh Januari hingga Februari berada pada US$125.16 bilion, menurut laporan data rasmi pada Khamis,” katanya. (US$1 = RM4.71)

Dalam perkembangan lain, peniaga itu berkata pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell membayangkan kadar faedah AS kemungkinan turun bermula tahun ini, sebaliknya beliau tidak menyatakan tempoh masa, dengan pergerakan ekonomi AS dan inflasi menjadi faktor penentu bagi pelonggaran monetari.

“Pengerusi Rizab Persekutuan AS juga menyatakan bank pusat memerlukan lebih keyakinan terhadap pergerakan inflasi yang semakin hampir dengan sasaran tahunan sebanyak dua peratus,” katanya.

Mengenai harga minyak mentah pula, peniaga itu berkata harga merosot sedikit pada Khamis, susut daripada kenaikan baru-baru ini berikutan pasaran menjangkakan lebih banyak petunjuk mengenai permintaan daripada pengimport utama China.

Sementara itu, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) tidak berubah pada 750.0 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 1.5 sen kepada 721.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 748.0 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 721.5 sen sekilogram.
- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI