KUALA LUMPUR, 12 April- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Jumaat dalam persekitaran prestasi lemah dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan sentimen lemah oleh data inflasi Amerika Syarikat luar daripada jangkaan, kata seorang peniaga.
Bagaimanapun, peniaga itu berkata kerugian selanjutnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak dan jualan kenderaan yang menggalakkan.
"Langkah rangsangan oleh China ditambah dengan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS juga dilihat dapat mengurangkan kerugian selanjutnya," katanya kepada Bernama.
Memetik Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara, beliau menyatakan bahawa China akan memberikan pembiayaan kukuh untuk firma yang terlibat dalam program menaik taraf peralatan dan tukar beli barangan pengguna dalam usaha terbaru untuk merangsang permintaan domestik dan menyokong ekonomi.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 jatuh 8.50 sen kepada 773.5 sen sekilogram (kg) manakala susu getah pukal meningkat satu 0.5 sen kepada 744 sen sekilogram.
Pada pukul 5.00 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 770 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 744 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup dari 9 hingga 11 April sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.- BERNAMA