fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Rabu sejajar dengan prestasi di pasaran niaga hadapan getah serantau selepas China mengumumkan sasaran pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan bagi 2024 / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Rabu sejajar dengan prestasi di pasaran niaga hadapan getah serantau selepas China mengumumkan sasaran pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan bagi 2024, kata peniaga.

Beliau berkata walau bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pemulihan harga minyak mentah dalam keadaan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kekurangan getah asli global.

“Niaga hadapan getah Jepun susut selepas mencatatkan kenaikan awal apabila kekukuhan yen dan penurunan harga minyak mentah menjejaskan minat, walaupun penurunan telah dihadkan apabila peniaga menilai rancangan pengembangan oleh pembuat kereta China dan pelaburan US$2 bilion Toyota di Brazil,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sasaran pertumbuhan China sebanyak lima peratus untuk 2024, yang ditetapkan pada Selasa, tidak mempunyai rancangan rangsangan besar untuk menyokong ekonomi negara itu yang sedang bergelut, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa pertumbuhan permintaan di China mungkin susut tahun ini.

Beliau berkata harga minyak mentah pulih sedikit pada Rabu selepas susut dalam tempoh semalaman, disokong oleh dolar AS yang rendah memandangkan kebimbangan mengenai permintaan minyak mentah China bertembung dengan tanda-tanda kekangan bekalan ekoran pengurangan pengeluaran oleh pengeluar utama.

Sementara itu, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 1.5 sen kepada 747.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal menambah 0.5 sen kepada 719.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal LGM untuk GMM 20 kekal pada 750.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal adalah 719.5 sen sekilogram.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN