KUALA LUMPUR, 9 Disember- Pasaran getah dijangka mengalami minggu yang perlahan apabila musim perayaan berterusan, dengan dagangan dijangka terikat dalam jajaran kecil berikutan ekonomi dunia yang masih lesu menjejaskan bekalan dan permintaan, kata seorang peniaga.
Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low berkata aktiviti stok dan penambahan semula, yang dijangkakan pada minggu lepas, akhirnya tidak berlaku.
“Ini menunjukkan kekurangan minat dan keterujaan untuk membeli dan menyimpan stok terhadap tempoh hasil yang rendah memandangkan hujan yang berlebihan dan musim tengkujuh. Dengan kekurangan bekalan, pasaran getah boleh disamakan dengan kekurangan permintaan,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga menegaskan harga minyak sejak kebelakangan ini dan dolar AS yang tidak menentu mungkin memberi kesan ke atas harga serta permintaan, dan turun naik yang teruk itu mewakili ketidaktentuan dan pada masa yang sama mungkin memberi jaminan serta kebimbangan.
"Dunia masih bergelut dengan ketidaktentuan di tengah-tengah pemulihan ekonomi semasa dan ini bermakna pendekatan yang lebih terukur untuk dagangan komoditi ini," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga lain berkata harga akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar AS dan penanda aras harga minyak mentah.
“Pengendali pasaran akan terus memantau perkembangan konflik di Timur Tengah dan mencari petunjuk lanjut mengenai kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan langkah rangsangan serta prestasi ekonomi China untuk mengukur hala tuju pasaran,” katanya.
Pada minggu dagangan yang baru berakhir, beliau berkata pasaran getah Kuala Lumpur susut setiap minggu, dipengaruhi oleh petunjuk yang lebih lemah daripada pasaran niaga hadapan getah serantau dan data pembuatan global di tengah-tengah kebimbangan yang timbul daripada penunjuk ekonomi yang bercampur-campur di China.
“Sentimen juga terjejas disebabkan ketidaktentuan mengenai hala tuju kenaikan kadar faedah AS, kejatuhan mingguan dalam harga minyak dan kebimbangan meningkatnya konflik di Timur Tengah yang berterusan.
“Namun, kejatuhan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang secara amnya lebih lemah berbanding dolar AS di tengah-tengah keyakinan untuk lebih banyak langkah rangsangan dari China dan jangkaan kadar faedah yang memuncak dalam kalangan bank-bank pusat utama di seluruh dunia,” tambahnya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) susut 7.5 sen untuk ditutup pada 662.0 sen sekilogram pada minggu ini berbanding 669.5 sen sekilogram pada minggu lepas, jatuh sebanyak kira-kira 1.12 peratus.
Sementara itu, susu getah pukal turun 6.5 sen untuk ditutup pada 537.0 sen sekilogram daripada 543.5 sen sekilogram pada minggu sebelumnya.
Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 667.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 538.0 sen sekilogram.- BERNAMA