fb fb fb fb fb

Pasaran getah dijangka diniagakan bercampur-campur minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 Julai - Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan bercampur-campur minggu hadapan di tengah-tengah sentimen berhati-hati yang berterusan terhadap tarif Amerika Syarikat (AS), kata Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Petunjuk yang semakin baik dari AS dan China, di samping pertumbuhan berterusan dalam sektor kenderaan elektrik (EV), berpotensi menyokong harga, katanya.

Bagaimanapun, persatuan itu memberi amaran kesan penuh tarif perdagangan AS masih belum jelas, sekali gus menambah kepada ketidaktentuan pasaran secara keseluruhan.

“Hala tuju pasaran secara keseluruhan akan banyak bergantung kepada perkembangan selanjutnya berkaitan dasar perdagangan AS dan kesan ekonomi sebenar daripada pelaksanaan tarif itu,” kata MARGMA.

Pakar industri Denis Low bersetuju bahawa pasaran berkemungkinan kekal berhati-hati dan bergerak dalam julat tertentu, tetapi dengan kecenderungan menaik pada julat kecil disebabkan keyakinan dari segi permintaan dan kekangan bekalan.

“Ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang juga akan memainkan peranan penting, memandangkan ia kini semakin dipengaruhi oleh faktor geopolitik dan bukannya asas ekonomi sebenar,” tambahnya.

Low berkata beliau menjangkakan berlakunya lantunan teknikal dalam harga disebabkan bekalan yang semakin terhad akibat keadaan cuaca buruk dan tekanan dari segi peraturan.

“Permintaan dan harga getah perlu ada lantunan teknikal memandangkan bekalan semakin terhad, terutamanya akibat fenomena perubahan iklim dan tarikh akhir pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang semakin hampir,” tambahnya.

Low berkata pematuhan terhadap EUDR kekal sebagai cabaran kepada kebanyakan pengeluar, dengan kebimbangan terhadap tadbir urus dan tahap kesiapsiagaan yang mungkin menjejaskan eksport ke Eropah apabila penguatkuasaan bermula Januari 2025.

Pada asas minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 10 sen kepada 736.00 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik lima sen kepada 571.50 sen sekilogram.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE