fb fb fb fb fb

Pasaran getah dijangka bergerak mendatar, cenderung susut minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Pasaran getah dijangka diniagakan mendatar pada minggu depan dengan kecenderungan menyusut, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata, kebanyakan pembekal dan peniaga tidak aktif berikutan cuti Aidiladha pada Isnin.

Selain itu, Low berkata, pengurangan bilangan kapal belayar susulan krisis Laut Merah, telah meningkatkan kos atau kadar pengangkutan hampir dua kali ganda dengan beberapa laluan menyaksikan peningkatan dua kali ganda dan boleh menjejaskan harga getah global.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata kalangan penggiat pasaran juga bersedia berikutan laporan mengenai kemungkinan fenomena cuaca La Nina melanda wilayah utara pada minggu-minggu akan datang.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya rendah seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan serantau getah yang lemah.

Sebagai perbandingan asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 turun 27 sen kepada 829 sen sekilogram daripada 856 sen sekilogram minggu lepas manakala susu getah pukal susut satu sen kepada 793.50 sen sekilogram daripada 794.50 sen sebelum ini.

Pada pukul 5.00 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal mencecah 823 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 793 sen sekilogram. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA