fb fb fb fb fb

OPR dijangka kekal pada 3.00% sehingga hujung tahun - Penganalisis

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 3.00 peratus sehingga hujung tahun ini.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan, dasar tersebut bergantung kepada situasi inflasi negara.

Menurutnya, langkah konsolidasi fiskal dan pembetulan harga dijangka beri kesan kepada inflasi.

"Ini kerana terdapat kemungkinan perubahan dasar daripada segi subsidi, kawalan harga, kemudian situasi harga komoditi di peringkat global selain ketidakpastian dalam pasaran kewangan," kata Dr. Mohd Afzanizam ketika menjadi tetamu dalam rancangan Biz Malaysia.

Sementara itu, beliau memberitahu pergerakan aliran modal asing dalam pasaran Bursa Malaysia banyak membantu meningkatkan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang melebihi 1600 mata baru-baru ini.

Jumlah tersebut juga berpotensi untuk meningkat lagi berikutan jangkaan pemotongan kadar faedah di Amerika Syarikat dan penilaian semula saham tempatan yang sebelum ini dinilai rendah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM