fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi seiring prestasi minyak soya CBOT

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Rabu, dipacu momentum kenaikan semalaman niaga hadapan minyak soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata peniaga.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata prestasi amat positif itu turut dipengaruhi oleh pemulihan niaga hadapan minyak sayuran China dalam waktu dagangan Asia.

“Momentum kenaikan harga tenaga juga menyumbang secara positif terhadap prestasi pasaran," katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak masing-masing Julai 2024 menokok RM22 kepada RM3,959 satu tan, Ogos 2024 meningkat RM31 kepada RM3,941 satu tan, September 2024 meraih RM37 pada RM3,920 satu tan, Oktober 2024 menambah RM38 kepada RM3,904 satu tan, November 2024 naik RM43 kepada RM3,905 satu tan manakala Disember 2024 melonjak RM42 kepada RM3,919 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 52,256 lot daripada 81,421 lot pada semalam dan kepentingan terbuka susut kepada 219,156 kontrak daripada 229,789 kontrak, sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan menokok RM20 pada RM3,990 satu tan.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE