fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup rendah selepas minyak kacang soya melemah

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 April- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini berikutan kelemahan berterusan dalam pasaran minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago Board.

Peniaga minyak sawit, David Ng menyatakan sentimen pasaran telah dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai jangkaan lonjakan pengeluaran dalam beberapa minggu akan datang, yang dilihat mampu memberikan tekanan ke atas pasaran

“Kami melihat sokongan pada paras RM3,850 satu tan dan rintangan pada RM4,050 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, dalam laporan tahunan bersepadu Genting Plantations Bhd 2023, Pengerusi Datuk Seri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, permintaan terhadap produk sawit diunjurkan meningkat, disokong oleh daya saing harga MSM berbanding minyak sayuran lain.

"Harga minyak sawit dijangka akan disokong dengan baik pada paras semasa tahun ini disebabkan kitaran keluaran rendah bermusim pada separuh pertama tahun, selain kekangan bekalan secara keseluruhan, apabila Indonesia meningkatkan penggunaan tempatan untuk industri makanan dan biodieselnya," kata beliau lagi.

Pada penutup, bulan semerta Mei 2024 susut RM69 kepada RM4,056 satu tan, Jun 2024 jatuh RM58 kepada RM3,981 dan Julai 2024 merosot RM58 kepada RM3,926.

Ogos 2024 mengecil RM51 kepada RM3,882 satu tan, September 2024 adalah lebih rendah RM42 kepada RM3,853 satu tan, manakala Oktober 2024 turun RM38 kepada RM3,842 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 97,851 lot berbanding 77,559 lot yang disaksikan pada Khamis, manakala kepentingan terbuka melemah kepada 263,873 kontrak daripada 266,188 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Selatan Mei berkurangan sebanyak RM50 kepada RM4,150 satu tan. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA