fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup rendah berikutan pengambilan untung

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives susut semula untuk ditutup rendah pada Selasa berikutan pengambilan untung dalam keadaan prestasi suram di pasaran minyak kacang soya, kata peniaga.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata kebanyakan faktor kenaikan harga yang kukuh telah sedia dijangkakan dan pasaran kini kekurangan momentum baharu untuk mengekalkan kenaikan baru-baru ini.

“Selain itu, penurunan yang dialami oleh niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago (CBOT) dan hargmia Percuma Atas Kapal (FOB) minyak kacang soya Amerika Selatan telah memberi isyarat supaya pembeli berhati-hati dalam pasaran minyak sawit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata anggaran potensi peningkatan keluaran dalam beberapa minggu akan datang adalah sejajar dengan pengeluaran yang lebih tinggi secara bermusim menekan harga MSM.

“Kami menetapkan sokongan kepada RM4,150 dan rintangan pada RM4,300 satu tan,” katanya.

Pada penutupan dagangan, April 2024 susut RM29 kepada RM4,297 satu tan, Mei 2024 kurang RM39 kepada RM4,247 satu tan dan Jun 2024 susut RM35 kepada RM4,201 satu tan.

Kontrak Julai 2024 susut RM24 kepada RM4,127 satu tan, Ogos 2024 turun RM16 kepada RM4,047 satu tan serta September 2024 susut RM9 kepada RM3,986 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 99,194 lot daripada 80,323 lot semalam manakala kepentingan terbuka menambah kepada 294,457 kontrak daripada 288,019 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan turun RM20 kepada RM4,350 satu tan daripada RM4,370 satu tan pada Isnin.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN