fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan penurunan pada Khamis, diseret turun oleh prestasi minyak boleh dimakan yang lemah dan dagangan berhati-hati menjelang pengumuman data minyak sawit April Jumaat ini.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata penurunan itu mencerminkan pasaran yang berhati-hati menjelang pengumuman data industri pada 10 Mei, yang bertumpu kepada tahap peningkatan pengeluaran pada April.

"Penurunan eksport bagi tempoh 1-10 Mei menyumbang kepada prospek harga yang lemah, berikutan pasaran turut menjangkakan eksport menyusut 20-25 peratus berbanding tempoh 1-10 April,” katanya kepada Bernama.

Peniaga minyak sawit David Ng mengaitkan prestasi MSM yang lebih lemah berikutan kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran dan permintaan yang rendah dalam beberapa minggu akan datang, seterusnya akan meningkatkan paras stok keseluruhan negara.

"Kami melihat paras sokongan pada RM3,800 satu tan dan paras rintangan pada RM3,950 satu tan," katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mei 2024 dan Jun 2024 masing-masing susut RM34 kepada RM3,923 satu tan dan RM3,860 satu tan, manakala Julai 2024 merosot RM38 kepada RM3,831 satu tan.

Kontrak Ogos 2024 turun RM33 kepada RM3,827 satu tan, September 2024 susut RM31 kepada RM3,827 satu tan, manakala Oktober 2024 merosot RM28 kepada RM3,833 satu tan.

Jumlah dagangan turun kepada 48,976 lot daripada 87,832 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 220,917 kontrak daripada 220,803 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan merosot RM40 kepada RM3,930 satu tan.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN