fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas ditutup rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 April- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini dengan perhatian pelabur tertumpu kepada data makroekonomi Amerika Syarikat (AS) termasuk angka Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK).

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, tumpuan terarah kepada potensi impak data makroekonomi terhadap prospek penurunan kadar faedah sepanjang 2024.

Beliau berkata terdapat sentimen bahawa data AS yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh mengurangkan ruang untuk penurunan selanjutnya kadar faedah dan meningkatkan hasil serta merangsang dolar AS.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Global S&P turun kepada 49.9 pada April daripada 51.9 pada Mac, mencerminkan penyusutan aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan.

Beliau juga berkata pemulihan pasaran emas dipengaruhi oleh kebimbangan kelulusan Senat AS untuk menyediakan pakej bantuan bernilai US$95 bilion kepada Taiwan, Ukraine dan Israel, yang boleh meningkatkan ketegangan geopolitik.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta April 2024 merosot kepada US$2,328.90 setiap auns troy daripada paras penutup US$2,331.40 pada Rabu manakala Mei 2024 turun kepada US$2,345.00 daripada US$2,347.50 setiap auns troy.

Kontrak Jun 2024, Julai 2024, Ogos 2024 dan Oktober 2024 semuanya ditutup rendah kepada US$2,350.20 setiap auns troy daripada US$2,352.70.

Jumlah dagangan menyusut kepada lapan lot daripada 14 lot manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 23 kontrak daripada 28 kontrak pada Rabu.

Menurut London Bullion Market Association pada 24 April, harga emas fizikal berada pada US$2,320.25 setiap auns troy.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN