KUALA LUMPUR, 5 September - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan China Construction Bank Malaysia Bhd (CCB Malaysia) dalam usaha meningkatkan akses pasaran ke China.
Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perjanjian yang diperbaharui itu akan turut bantu pengeksport tempatan mendapatkan pembiayaan lebih baik.
"Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar hari ini, sokongan pembiayaan yang kukuh adalah penting untuk kejayaan perniagaan. Kerjasama rapat kami dengan CCB akan mempromosikan inisiatif dan kemudahan pembiayaan ini kepada syarikat Malaysia seterusnya memudahkan perdagangan antara Malaysia dan China," kata Reezal Merican, di sini.
Beliau berucap pada Sesi Pemadanan Perniagaan B2B Malaysia-China Ke-6, yang diadakan sempena Ekspo ASEAN-China (CAEXPO) ke 21, di sini.
Tambahnya, perkongsian itu juga selaras strategi MATRADE bagi meningkatkan eksport ke China dan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Acara tersebut dianjurkan bersama-sama MATRADE, CCB Malaysia, Sekretariat CAEXPO dan Kedutaan China di Malaysia.