fb fb fb fb fb

MITI tumpu pembiayaan, pengukuhan digital bagi perkasakan usahawan wanita - Tengku Zafrul

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika berucap pada Majlis Forum ‘Unleashing the Power of Women in ASEAN: Trade and Industry Across Borders’ di Menara MITI/ RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Wanita kini bukan sekadar peserta dalam dunia perniagaan, tetapi menjadi pemacu daya tahan dan pertumbuhan ekonomi serantau.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menekankan kepentingan memperkasa wanita melalui digitalisasi, pembiayaan dan kerjasama serantau bagi membuka peluang perniagaan di peringkat domestik dan global.

"Pendigitalan akan membekalkan wanita dengan alat untuk memanfaatkan e-dagang, kecerdasan buatan (AI), dan keselamatan siber bagi perdagangan merentas sempadan.", katanya ketika berucap pada Majlis Forum ‘Unleashing the Power of Women in ASEAN: Trade and Industry Across Borders’ di Menara MITI, di sini hari ini.

Jelasnya, walaupun wanita membentuk hampir separuh populasi Malaysia, kurang daripada sepertiga pemilik perniagaan adalah wanita.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat lebih 219,015 perusahaan milik wanita aktif pada 2022, menyumbang RM137 bilion kepada output kasar negara.

Tengku Datuk Seri Zafrul turut menegaskan bahawa dasar inklusif MITI, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Perdagangan Negara bertujuan membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya yang diketuai wanita, untuk berkembang di peringkat serantau dan antarabangsa.

Di peringkat ASEAN, perusahaan wanita memainkan peranan penting dalam perdagangan intra-rantau serta rantaian bekalan global dan kerajaan terus berusaha membantu agar mereka dapat berinovasi, bersaing dan berkembang merentas sempadan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN