fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 perlu sedia insentif cukai, kukuhkan rantaian bekalan intra-ASEAN - SAMENTA

Foto hiasan/ RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) mencadangkan agar insentif cukai bagi perbelanjaan yang berkaitan dengan pembangunan pasaran dan rantaian bekalan intra-ASEAN disediakan menerusi Belanjawan 2026.

Presiden Kebangsaan SAMENTA, Datuk William Ng berkata insentif cukai itu akan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melabur dalam kerjasama serantau, usaha sama dan jaringan eksport dalam ASEAN.

“Walaupun ASEAN merupakan pasaran terdekat untuk Malaysia, perdagangan intra-ASEAN masih berada pada sekitar 21 peratus.

“Cabaran tarif serta gangguan rantaian bekalan global telah menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pengeluaran dan rantaian bekalan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, inisiatif itu juga selaras dengan hasrat negara untuk beralih daripada ‘Buatan Malaysia’ kepada ‘Jenama Malaysia’.

Bantuan kepada sektor juga PKS perlu melangkaui sokongan tradisional terhadap pengeluaran tempatan, serta perlu menggalakkan inovasi, pemilikan harta intelek (IP) dan usaha mengantarabangsakan jenama Malaysia.

Tambahnya, Belanjawan 2026 perlu menumpukan kepada bantuan aliran tunai dan daya saing berbanding langkah menambah hasil baharu memandangkan sebarang bentuk cukai baharu atau yang diperluas hanya akan terus melemahkan daya tahan PKS.

Skim jaminan kredit wajar diperluas supaya lebih banyak PKS, termasuk perusahaan mikro dan syarikat baharu, dapat memperoleh pembiayaan tanpa keperluan cagaran yang tinggi.

''Kaji Selidik Prospek PKS SAMENTA yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan, tujuh daripada 10 PKS mempunyai simpanan tunai kurang daripada enam bulan.

''Justeru, ini bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan cukai baharu atau menambah beban pematuhan,” katanya.

Sebagai belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Belanjawan 2026 perlu membantu PKS beralih daripada fasa kelangsungan kepada fasa daya saing; dan daripada menjadi pembekal kepada menjadi inovator serta pemain serantau.

“SAMENTA bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan dasar-dasar yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 dapat diterjemahkan kepada kesan sebenar di peringkat pelaksanaan,” katanya.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN