PUTRAJAYA, 8 Oktober – Belanjawan 2026 akan meneruskan agenda reformasi fiskal secara lebih bersasar.
Penekanan diberikan kepada penyasaran subsidi dan pengagihan semula hasil negara ke arah pembangunan infrastruktur awam dan bantuan rakyat.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ia susulan perkembangan positif hasil pelaksanaan reformasi fiskal yang telah digerakkan setakat ini.
“Kalau kita boleh meningkatkan lagi hasil, kita juga boleh meningkatkan pertolongan yang diberikan. Tetapi cara kita meningkatkan hasil mesti dilakukan secara bersasar. Contohnya subsidi RON95 kita salurkan hanya kepada pengguna yang betul-betul layak. Jadi penjimatan yang ada, kita gunakan semula untuk membina hospital, sekolah dan meningkatkan bantuan SARA. Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan beberapa perkara," katanya selepas Majlis Peluncuran Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2024 (HIES) 2024 di sini hari ini.
Datuk Seri Amir Hamzah yang juga Menteri Ekonomi berkata pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan tekanan terhadap ruang fiskal negara, malah membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Ketika ditanya mengenai butiran Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Jumaat ini, beliau berkata semua cadangan yang diterima melalui sesi libat urus telah dipertimbangkan secara menyeluruh.