KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuka permohonan program latihan baharu khusus untuk wanita yang ingin kembali ke pasaran modal selepas berhenti sementara daripada kerjaya mereka.
Inisiatif tersebut dikenali sebagai investED for Returning Women, disasarkan kepada golongan profesional berumur 50 tahun ke bawah yang telah meninggalkan sektor pekerjaan sehingga tempoh 10 tahun dan kali terakhir bekerja dalam industri pasaran modal atau syarikat awam tersenarai.
“investED for Returning Women sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2025 Kerajaan, yang menggesa pertumbuhan inklusif dengan menggalakkan kepelbagaian jantina serta pembangunan ekonomi inklusif.
"Inisiatif ini turut disokong oleh beberapa rakan kongsi seperti 30% Club Malaysia, LeadWomen Sdn. Bhd., Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), PricewaterhouseCoopers Malaysia Holdings Sdn. Bhd. (PwC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)," menurut SC dalam satu kenyataan hari ini.
SC memaklumkan, kohort pertama program tersebut dihadkan kepada 100 peserta, terutamanya profesional di peringkat pengurusan pertengahan.
Para peserta akan menjalani program komprehensif selama dua bulan yang bertujuan memperbaharui kemahiran dan melengkapkan mereka dengan kecekapan bersesuaian bagi pasaran kerja semasa.
“Inisiatif ini merangkumi bimbingan mentor dan klinik kerjaya, panduan peribadi, serta peluang rangkaian profesional. Peserta juga akan menerima insentif sebanyak RM2,000 serta sijil selepas tamat program,” jelas kenyataan itu.
Permohonan bagi program berkenaan dibuka dari 8 hingga 31 Oktober 2025 dan calon akan melalui proses pemilihan sebelum disenarai pendek.
Individu yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui laman web investED.