fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 perlu seimbangkan aset baharu dan penyelenggaraan sedia ada

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Belanjawan 2026 diharapkan memberi tumpuan kepada keseimbangan antara perolehan aset baharu dan penyelenggaraan aset sedia ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Datuk Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi berkata, pendekatan kos kitar hayat dan dana penyelenggaraan berterusan perlu disediakan bagi memastikan aset pertahanan kekal beroperasi dengan optimum.

"Ancaman konvensional terutama di Laut China Selatan kekal relevan. Justeru keutamaan perlu diberi kepada peningkatan aset pemantauan dan pertahanan negara,"jelasnya.

Tambah beliau, ancaman bukan konvensional seperti serangan siber, jenayah rentas sempadan dan perubahan iklim yang kian meningkat pula memerlukan strategi pertahanan baharu.

“Pembentukan pasukan siber, pengukuhan sistem arahan, kawalan, komunikasi, komputer, perisikan, pemantauan dan peninjauan (C4ISR), serta pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), satelit kecil, dron pintar dan penyelenggaraan berasaskan ramalan perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2026 kerana ia mampu meningkatkan keberkesanan operasi dengan kos lebih rendah,” ujarnya.

Tambahnya, industri pertahanan perlu diperkukuh melalui kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan universiti dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Beliau tegaskan, pendekatan menyeluruh kerajaan berasaskan penilaian risiko penting bagi mengekalkan kedaulatan dan ketahanan strategik negara.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN