KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan RENTAS+, penambahbaikan kepada Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS).
Naik taraf sistem itu membolehkan pemindahan dana dan penyelesaian antara bank secara berterusan, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.
“Pengembangan RENTAS menerusi penyelesaian transaksi pembayaran runcit secara berterusan ini membolehkan institusi kewangan untuk menguruskan secara lebih baik risiko kredit dan risiko penyelesaian yang timbul berikutan perkembangan pesat pembayaran runcit segera,” jelas BNM dalam satu kenyataan semalam.
Menurut bank pusat, sebelum RENTAS+, pembayaran runcit diselesaikan dua kali sehari pada asas bersih tertunda.
Walaupun cekap, kaedah itu mempunyai risiko kredit dan risiko penyelesaian sedia ada kerana dedahan kredit antara bank hanya terlangsai dua kali sehari, yang kini dapat diatasi dengan RENTAS+.
Bagi membantu penyelesaian sepanjang masa ini, BNM turut memperkenalkan kemudahan mudah tunai automatik 24 jam sehari, tujuh hari seminggu menggunakan perjanjian belian balik dan perjanjian jual dan beli balik.
Bank pusat berkata sejak 2024, jumlah dan nilai transaksi pembayaran runcit harian telah meningkat masing-masing sebanyak 49 peratus dan 22 peratus.
Sementara itu, Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, RENTAS+ mengukuhkan daya tahan infrastruktur pasaran kewangan Malaysia di samping menyediakan platform penyelesaian yang selamat, mampu diperluas dan fleksibel untuk pengembangan inovasi pada masa hadapan.
“Pencapaian ini juga menunjukkan komitmen BNM untuk meletakkan RENTAS sebagai pemangkin dan penggerak inovasi dalam pasaran kewangan," katanya.