KUALA LUMPUR, 28 Januari- Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2025 menyasarkan kehadiran seramai 20,000 pelawat dan penyertaan 750 pempamer dari pelbagai negara.
Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata acara itu bertujuan mengembangkan industri tersebut dengan membina rangkaian dalam sektor peranti perubatan dan farmaseutikal.
"MATRADE akan bekerjasama dengan penganjur pameran perdagangan terkenal di dunia, untuk menganjurkan Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa dan menyediakan platform bagi perkongsian pandangan industri, peluang rangkaian untuk sektor farmaseutikal dan peranti perubatan.
Seperti yang kita ketahui, sektor ini merupakan penyumbang besar kepada ekonomi negara dan disenaraikan sebagai sektor keutamaan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)," kata Datuk Seri Reezal kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Prestasi Perdagangan Malaysia, 2024.
Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2025 akan berlangsung 16 hingga 18 Julai ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).