KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Persatuan Francais Malaysia (MFA) komited untuk memperkukuh peranannya dalam memperkasakan serta mempromosikan industri francais tempatan ke peringkat global.
Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan berkata, usaha itu seiring dengan strategi pengantarabangsaan industri francais, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sejak ditubuhkan pada 1994, MFA sentiasa menyokong pembangunan industri francais menerusi program latihan francais dan pembangunan kapasiti serta penganjuran bersama ekspo francais bagi membuka akses baharu kepada jenama francais tempatan.
"Contohnya macam Ekspo Francais Malaysia 2025, kita bawa usahawan terlibat untuk berkongsi pengalaman dan menyertai ekspo tempatan atau antarabangsa.
"Kita juga terlibat dengan misi-misi perdagangan seperti Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) yang banyak mendapat sokongan dan kerjasama daripada pihak kerajaan," katanya pada penganjuran Ekspo Francais Malaysia 2025 baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan peserta industri francais supaya meningkatkan penguasaan dalam teknologi digital bagi memastikan perniagaan kekal berdaya saing.
"Francais tempatan berpeluang memanfaatkan digitalisasi untuk meningkatkan keberkesanan operasi, memperluas capaian pasaran di peringkat tempatan dan global serta memperkukuh pengalaman pelanggan. Pendekatan ini seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab francais serantau yang berdaya tahan dan berasaskan inovasi digital sebagai pemacu pertumbuhan.
"Menerusi transformasi digital, model perniagaan francais Malaysia dapat berkembang secara lebih mampan dan menjadi rujukan di peringkat antarabangsa," katanya.