SEPANG, 25 Ogos - Malaysia merekodkan kehadiran 2.17 juta pelancong dari China pada separuh pertama tahun ini.
Pertambahan pelawat dari negara Tembok Besar itu meningkat 35.6 peratus berbanding tempoh enam bulan pertama tahun lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Chua Choon Hwa berkata, peningkatan tersebut membuktikan negara ini kekal sebagai destinasi pilihan utama dalam kalangan pelancong China.
"Lonjakan ini jelas menunjukkan permintaan yang semakin meningkat untuk Malaysia di kalangan pelancong China dan bertepatan dengan pengoperasian syarikat penerbangan Jiangxi Air ke Malaysia.
Ia membuka pintu kepada kerjasama yang lebih kukuh, baharu peluang perniagaan, dan persefahaman yang lebih mendalam." katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran penerbangan sulung laluan Nanchang–Kuala Lumpur oleh Jiangxi Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Menurutnya, pembukaan laluan baharu itu juga memperkukuh rangkaian penerbangan selain menyokong usaha kerajaan menjadikan Malaysia hab pelancongan utama di rantau ini.
Beliau turut mengalakkan Jiangxi Air untuk memperluas perkhidmatannya ke pintu masuk lain di negara ini, termasuk Pulau Pinang dan Kota Kinabalu
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Mohd Izani Ghani menyifatkan, laluan terus ke pasaran baharu di China mampu memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
"Kehadiran Jiangxi Air menyokong kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan utama di Asia Tenggara, sekaligus mewujudkan laluan baharu untuk pelancongan, perdagangan, dan pertukaran budaya antara negara kita," katanya.
Ketika ini, Jiangxi Airlines menawarkan penerbangan terus bagi laluan Nanchang-Kuala Lumpur dengan kekerapan sebanyak dua kali seminggu, setiap Isnin dan Sabtu.