fb fb fb fb fb

Median upah bulanan sektor formal meningkat kepada 5.6 peratus - DOSM

Foto Fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Median upah bulanan sektor formal meningkat 5.6 peratus pada Jun 2024, kepada RM2,745 berbanding bulan sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata peningkatan itu menandakan momentum positif dalam pasaran buruh Malaysia pada suku kedua 2024.

Keadaan itu turut mencerminkan prestasi ekonomi negara yang kukuh.

"Bilangan pekerja formal lelaki warganegara yang mencecah 3.72 juta, merekodkan median upah bulanan sebanyak RM2,782.

Selain itu, pekerja formal perempuan seramai 3.01 juta orang, mencatat median upah bulanan RM2,700," kata kenyataan itu.

Semua sektor ekonomi menunjukkan pertumbuhan positif dalam median upah bulanan.

Sektor Perlombongan dan pengkuarian terus mencatat median upah tertinggi berjumlah RM5,900.

Sebaliknya, Pertanian yang merangkumi 1.9 peratus daripada jumlah pekerja formal, mencatat median upah bulanan terendah iaitu RM2,000.

Taburan upah pula menunjukkan 32.2 peratus daripada jumlah pekerja formal menerima upah bulanan di bawah RM2,000.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM