fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi, sentimen bercampur-campur di Wall Street

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit hari ini dalam dagangan tidak menentu berikutan sentimen bercampur-campur di Wall Street selepas pendapatan korporat menunjukkan prestasi yang berbeza-beza, kata penganalisis.

Pada pukul 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.3 mata kepada 1,632.53 daripada 1,632.23 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.79 mata kepada 1,633.02.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 180 berbanding 145 manakala 299 kaunter tidak berubah, 1,878 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 249.69 juta unit bernilai RM99.39 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata saham Asia ditutup kebanyakannya rendah semalam, didorong oleh jualan ekuiti global yang mempunyai kaitan dengan peningkatan hasil Perbendaharaan AS.

“Ia turut menyebabkan FBM KLCI ditutup rendah pada Khamis. Kami percaya ini memberikan peluang belian kepada mereka yang mencari saham pada harga rendah.

“Berdasarkan indeks hampir kepada paras lebihan jualan, kami menjangka belian saham pada harga rendah dan mengunjurkan peningkatan semula, dengan indeks berada antara 1,630 hingga 1,640 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.60 dan Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM14.42.

Sebaliknya, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing merosot tiga sen kepada RM4.49 dan RM7.38 serta CIMB Group berkurangan dua sen kepada RM8.11.

Bagi kaunter aktif, Ingenieur Gudang susut setengah sen kepada lima sen dan YNH Property merosot satu sen kepada 48 sen manakala Alpha IVF tidak berubah pada 36 sen.

Silver Ridge dan Lotus KFM, masing-masing naik setengah sen kepada 45.5 sen dan 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 0.51 mata kepada 12,299.19, Indeks FBM 70 jatuh 18.08 mata kepada 17,730.23 dan Indeks FBMT 100 susut 1.92 mata kepada 11,999.71.

Sementara itu, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 6.30 mata kepada 12,250.85 dan Indeks FBM ACE naik 10.73 mata kepada 5,121.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 21.93 mata kepada 19,385.64 dan Indeks Tenaga berkurangan 3.52 mata kepada 855.51.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan naik 33.77 mata kepada 7,313.88 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.35 mata kepada 176.17.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM