KUALA LUMPUR, 30 April - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis mencapai sasaran eksport negara berjumlah RM1.58 trilion tahun ini.
Perkara itu didorong penyertaan strategik Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang bakal dianjurkan di Shanghai, China pada November depan.
Pengerusin MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah membawa MIHAS ke pasaran China ini dijangka membuka peluang besar kepada pemain industri halal Malaysia meneroka pasaran global.
"Maka kita eksport ke Dubai. Tetapi selepas ini kita bawa ke China. Kita buat bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) Banyak ekspo, tetapi satu ekspo ni minta bawa masuk barang dari negara-negara luar. Dalam banyak-banyak pameran dunia yang lain, dibenarkan MIHAS untuk sertainya," kata Reezal Merican selepas Pra-Pelancaran MIHAS 2025, di sini.
MATRADE turut menyasarkan strategi pasaran baharu dan misi ‘"retain and regain" atau mengekalkan dan mendapatkan semula bagi mengekalkan pasaran sedia ada serta menawan semula pasaran lama yang berpotensi.
MIHAS di China dijangka menarik lebih 400,000 pelawat perdagangan, berbanding 40,000 yang hadir ke edisi biasa di Malaysia.
Sementara itu, MIHAS 2025 menyasarkan jualan halal global sebanyak RM4.5 bilion.
Reezal Merican berkata, jumlah itu didorong penggunaan platform digital MADANI Digital Trade (MDT) yang merupakan integrasi kecerdasan buatan (AI).
Platform tersebut berupaya melakukan padanan pintar antara pengeksport Malaysia dan pembeli antarabangsa berpandukan data masa nyata, trend pasaran serta keutamaan perniagaan.
"Kita ada beberapa strategi, kita sedang melihat semua rakan perdagangan kita ang menyumbang kepada lebihan dagangan untuk kita. Jadi kita mahu tingkatkan (perdagangan itu), kita juga nak lihat yang menyumbang kepada defisit dagangan, iaitu yang paling bawah, bagaimana kita boleh kurangkan atau sifarkan," katanya.
Tahun lalu, MIHAS mencatat nilai jualan sebanyak RM4.3 bilion dan menarik lebih 43,000 pengunjung dari 90 negara.