fb fb fb fb fb

Malaysia perlu tingkat koordinasi keselamatan siber rentas sempadan

Gambar hiasan BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Malaysia digesa memperkukuh koordinasi usaha keselamatan siber rentas sempadan berikutan peningkatan kes serangan siber yang menyasarkan negara berpotensi datang dari luar negara.

Menurut Naib Presiden Pemasaran & Komunikasi APAC, Fortinet, Rashish Pandey, sifat global ancaman siber menjadikan kerjasama antarabangsa sebagai elemen kritikal dalam memperkukuh daya tahan pertahanan negara.

"Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) disarankan bekerjasama rapat dengan rakan strategik di Asia, Eropah, serta badan global seperti Interpol bagi pertukaran maklumat, pemahaman trend industri, dan penilaian strategi efektif menangkis ancaman siber," katanya pada sidang media Fortinet Year-End Media Briefing & Luncheon di ibu negara, hari ini.

Tambah Rashish, bagi menangani ancaman siber, ia bukan sahaja tanggungjawab individu atau organisasi tunggal, malah memerlukan kerjasama daripada agensi kerajaan, pemain industri dan institusi akademik.

“Malaysia memerlukan respon keselamatan siber yang diselaraskan secara nasional, sejajar dengan fokus kerajaan terhadap keselamatan siber dan undang-undang keselamatan siber baharu.

"Ini menuntut penyertaan pelanggan, akademia, syarikat permulaan, penggubal dasar kerajaan, dan vendor untuk membina benteng pertahanan kukuh bagi melindungi rakyat dan organisasi negara,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa perusahaan kecil dan sederhana, meskipun semakin terintegrasi dalam rantaian bekalan global, adalah antara pihak paling terdedah kepada serangan siber kerana kekurangan pasukan teknologi maklumat.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI