KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Malaysia disarankan mencontohi negara-negara berpendapatan tinggi dalam memperkukuh ketahanan siber sektor kewangan, khususnya melalui pengawasan berterusan pengawal selia dan penyertaan aktif penyedia teknologi keselamatan siber dalam pasaran.
Menurut Pakar Ekonomi Digitalisasi dan Keselamatan Siber Bank Dunia, Estefania Vergara Cobos, kedua-dua elemen tersebut terbukti berkesan bagi mengelakkan penularan serangan siber secara berantai dalam sistem kewangan.
"Di negara-negara itu, pengawal selia sentiasa memantau keselamatan siber sektor kewangan, dan pada masa sama pasaran teknologi keselamatan siber sangat aktif, termasuk penyertaan syarikat pemula (startup) yang membangunkan penyelesaian khusus untuk industri.” katanya kepada media sempena Forum Keselamatan Siber Global 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, sebahagian besar insiden siber berpunca daripada kesilapan manusia, justeru pelaburan terhadap kesedaran dan latihan dalam kalangan kakitangan penting bagi memastikan sistem perlindungan siber berkesan.
Serangan siber bukan sahaja memberi kesan langsung kepada firma kewangan, malah boleh menggugat keyakinan pengguna terhadap keseluruhan sistem digital apabila berlaku kebocoran data atau penipuan dalam talian.
Apabila insiden sebegitu berlaku, pengguna menjadi lebih berhati-hati untuk berkongsi maklumat kewangan atau membuat transaksi digital, sekali gus menjejaskan aktiviti perniagaan dan ekonomi digital secara keseluruhan.
"Berdasarkan pelbagai kajian antarabangsa, kumpulan yang paling mudah menjadi sasaran penipuan digital lazimnya terdiri daripada golongan kurang berpengetahuan teknologi, warga emas dan juga wanita", katanya.
Justeru, usaha membina ketahanan siber tidak seharusnya tertumpu kepada sistem dan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan program pendidikan digital yang merangkumi semua lapisan masyarakat agar keselamatan siber benar-benar dapat dinikmati secara menyeluruh.