KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Belanjawan 2026 diharap dapat memperluas pelaksanaan subsidi bersasar mengikut pengkelasan pendapatan isi rumah bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan dengan lebih tepat dan berkesan kepada golongan sasar.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini sekali gus membolehkan lebih banyak perkhidmatan dan inisiatif bermanfaat disalurkan kepada rakyat.
Menurutnya, langkah itu akan menghasilkan penjimatan yang lebih besar pada masa hadapan selain memberi ruang fiskal lebih kukuh.
"Jika sebelum ini penjimatan hanya tertumpu kepada bukan warganegara, pada masa akan datang pelaksanaan subsidi bersasar ini boleh diperhalusi mengikut kategori atau kelas pendapatan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Beliau pada masa sama menekankan aspek komunikasi dasar yang perlu diberi keutamaan agar rakyat memahami hala tuju kerajaan, seterusnya meredakan keresahan terhadap pelaksanaan dasar-dasar reformasi fiskal.
“Dari sudut komunikasi inilah kerajaan perlu memberi penekanan dalam Belanjawan 2026 supaya segala usaha yang dirancang lebih mudah diterima rakyat, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih berkualiti,” tambahnya.
Mengulas mengenai rasionalisasi subsidi RON95 yang diperkenalkan baru-baru ini pula, Dr Mohd Afzanizam berkata penggunaan MyKad sebagai mekanisme kawalan merupakan antara pencapaian utama.
"Penggunaannya (MyKad) membolehkan kerajaan memantau penyaluran subsidi secara lebih menyeluruh, cekap dan berkesan," ujarnya.