KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Belanjawan 2026 diharap dapat memberi tumpuan kepada kesinambungan inisiatif bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) bagi memenuhi agenda tenaga bersih negara.
Timbalan Pengerusi Persatuan Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (PINTARE), Ahmad Fathi Dr Zainaazlan berkata, langkah-langkah dalam NETR wajar dikemas kini dan ditambah baik agar seiring dengan perkembangan semasa.
"Inklusiviti kepada pemaju projek solar kecil dan sederhana, melalui konsep solar park bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad, perlu diterapkan bagi membantu pemaju berstatus Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyokong pelaksanaan projek tenaga boleh baharu kerajaan," katanya ketika dihubungi RTM.
Jelas beliau, peruntukan tambahan untuk Tenaga Nasional Berhad juga wajar diberi bagi membangunkan grid ASEAN serta menyediakan tanah baharu bagi projek tenaga solar yang berpotensi menembusi pasaran serantau.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan dapat meneruskan pemberian rebat pemasangan sistem di bawah Skim Insentif Solar untuk Rakyat (Solaris), berikutan ia merupakan pemangkin dalam pemasangan solar kepada orang awam.