KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Bursa Malaysia dijangka mencatatkan pergerakan bercampur minggu depan sekiranya penutupan kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) berlanjutan.
Menurut Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, setiap minggu penutupan kerajaan AS dianggarkan mengurangkan 0.1 mata peratusan daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat (tahunan).
Keadaan itu meningkatkan risiko bahawa kebuntuan yang berpanjangan boleh menghakis keyakinan.
Beliau berkata pada masa sama, tumpuan domestik akan beralih kepada Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat depan.
Sebagai belanjawan pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), hala tuju fiskal kerajaan dijangka ditetapkan menerusi Belanjawan 2026 dengan penekanan kepada rasionalisasi subsidi, perlindungan sosial dan perbelanjaan infrastruktur, katanya.