KUALA LUMPUR, 23 April - Malaysia berjaya dipilih semula menganggotai dua badan penting bawah Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) .
Dua badan penting itu ialah Pusat Mekanisasi Pertanian Mampan (CSAM) dan Institut Perangkaan untuk Asia dan Pasifik (SIAP).
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pemilihan tersebut telah diadakan semasa Sesi ke-81 UNESCAP pada 22 April 2025 di Bangkok, Thailand.
Malaysia merupakan antara lapan Negara yang dipilih bagi menganggotai kedua-dua badan ini.
Malaysia, yang diwakili Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah dipilih semula sebagai Ahli Majlis CSAM bagi penggal 2025-2028.
"CSAM memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama teknikal antara ahli dan ahli bersekutu
UNESCAP.
"Ia mempromosi perkongsian pengetahuan, penyelidikan dan pembangunan agro-perniagaan dalam bidang mekanisasi pertanian mampan," menurut kenyataan itu.
Bagi SIAP, Malaysia, yang diwakili Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), telah dipilih semula sebagai Ahli Majlis Pentadbiran SIAP untuk penggal 2025-2027.
SIAP memperkukuh keupayaan statistik Negara-Negara di rantau Asia-Pasifik dan membantu dalam mengumpul, menyebar dan menganalisis data bagi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial.
"Malaysia akan terus menyokong kerja CSAM dan SIAP dan terlibat secara aktif dan menyumbang kepada pemerkasaan peranan kedua-dua badan penting di bawah naungan UNESCO," kata kenyataan itu lagi.