fb fb fb fb fb

Malaysia-China jalin kerjasama perkukuh industri getah - Fadillah

SUNGAI BULOH, 19 September - Produk industri getah antara yang bakal diketengahkan dalam misi kerjasama antara Malaysia dengan China pada tahun hadapan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, inovasi daripada produk getah itu dilihat berpotensi digunakan dalam sektor pembinaan bagi memastikan bangunan yang dibina mampu bertahan daripada gegaran akibat gempa bumi.

"Kalau kita melihat hasil produk kita yang utama dari segi getah misalnya dapat menangani atau dalam bidang pembinaan dapat memastikan bangunan yang dibina dapat tahan daripada gegaran gempa bumi.

"Ini (produk industri getah) adalah produk yang begitu terkenal, termasuklah apa yang telah dilaksanakan di United Kingdom (UK) dan serata dunia hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kita hasilkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Hari Teknologi Lembaga Getah Malaysia (LGM) 2023 di sini, hari ini.

Tambah beliau yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi, LGM komited dalam memastikan industri getah dipelihara dan lestari.

Penelitian akan dilakukan melalui inisiatif serta projek yang berpotensi memberi impak tinggi kepada semua golongan sasar dalam industri getah.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke China menyatakan, negara tersebut bersetuju meningkatkan kerjasama bersama Malaysia dalam bidang komoditi dan industri berasaskan pertanian seperti minyak sawit, getah, biodiesel, durian, keterjaminan makanan dan akses kemasukan produk pertanian pasaran China.

 

Media Baharu