fb fb fb fb fb

Malaysia Autoshow 2024 catat potensi jualan RM1.4 bilion

Malaysia Autoshow 2024

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Malaysia Autoshow 2024 mencatatkan potensi jualan bagi pengeluar peralatan asal (OEM) berjumlah RM1.4 bilion.

Pameran yang berlangsung selama enam hari dari  21 hingga 26 Mei lepas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu turut mencatat sebanyak 2,620 tempahan kenderaan dan lebih 13,000 potensi jualan keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz menerusi kenyataan berkata, sejumlah 15 memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian juga ditandatangani melibatkan pemain industri.

Ia turut mencerminkan keyakinan peserta industri terhadap Malaysia Autoshow 2024 menerusi 47 produk yang dilancarkan sepanjang pameran berkenaan, sekali gus menjadi platform yang berpotensi menjangkau pengguna tempatan dan serantau.

Pameran berkenaan juga telah menarik kehadiran lebih 223,000 pengunjung iaitu melepasi rekod penganjuran terdahulu.

Justeru, Azrul Reza menjangkakan pameran tahun hadapan akan menampilkan elemen yang lebih menarik dan berbeza sejajar peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

Malaysia Autoshow 2024 menyaksikan peneraju automotif global menampilkan pelbagai kenderaan dan motorsikal dari Amerika Syarikat, China, Europe, Jepun dan Malaysia dengan teknologi terkini.

SITI AISHAH MD ISA