KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan untuk membangunkan sektor unsur nadir bumi (REE).
Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, sebagai dana kekayaan berdaulat negara, Khazanah bersedia membantu kerajaan meneroka peluang dalam sektor baharu dan memperkukuh kepentingan strategik negara.
"Kami ambil maklum mengenai perbincangan kerajaan Malaysia dan kerajaan China, sebagai cabang pelaburan strategik kami sentiasa bersedia menyokong usaha kerajaan untuk inisiatif penting ini, bagi menjamin masa depan ekonomi Malaysia.
''Khazanah juga terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak berkepentingan berhubung perkara ini. Sektor ini dianggap strategik dan kami turut menjalankan banyak penyelidikan dalam bidang ini. Jadi, kami terbuka untuk berunding dengan semua pihak," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Forum Khazanah Megatrends 2025 di ibu negara, hari ini.
Sebelum ini, agensi berita antarabangsa melaporkan Malaysia dan China dalam perbincangan awal melibatkan sebuah projek pemprosesan unsur nadir bumi.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Ogos lepas menyatakan, kerajaan komited untuk membangunkan dan menarik pelabur berpotensi bagi mengukuhkan aktiviti pengeluaran di sepanjang rantaian bekalan REE Malaysia.
Menurutnya, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara 2021-2030 akan menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan bahan maju, termasuk sumber bijih mineral REE bernilai tinggi.
Malaysia dianggarkan mempunyai sebanyak 16.1 juta tan REE bukan radioaktif dengan nilai pasaran mencecah RM809.6 bilion.