fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup tinggi disokong saham penjagaan kesihatan dan kewangan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra harinya pada Isnin, seiring dengan prestasi pasaran serantau yang lebih kukuh, disokong oleh minat belian berterusan dalam saham penjagaan kesihatan dan kewangan, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.03 mata atau 0.19 peratus kepada 1,638.09 daripada 1,635.06 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi, naik 1.08 mata kepada 1,636.14 dan mencecah paras terendahnya pada 1,629.93 ketika awal sesi dagangan.

Bagaimanapun, di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 729 berbanding 403, manakala 464 kaunter tidak berubah, 968 tidak diniagakan dan tujuh digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.69 bilion unit bernilai RM2.61 bilion daripada 4.03 bilion unit bernilai RM2.50 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata ekuiti serantau diniagakan secara meluas dan mencatatkan pengukuhan dengan indeks Nikkei 225 Jepun mencatat paras tertinggi baharu.

Ini berikutan spekulasi bahawa pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) yang baru dipilih, Sanae Takichi akan meneruskan dasar fiskal yang lebih akomodatif.

“Sentimen dagangan secara keseluruhannya sederhana; pasaran di tanah besar China ditutup sempena Minggu Emas manakala Hong Kong pula akan bercuti esok. Di Malaysia pula, kami kekal positif terhadap prospek pasaran dengan kemasukan semula dana asing dan jumlah dagangan yang bertambah baik,” katanya.

“Perhatian kini beralih kepada paras rintangan 1,650. Tempoh pengukuhan singkat ini merupakan petanda kepada kekuatan, menunjukkan pasaran sedang mencerna keuntungan sebelum meneruskan momentum kenaikan.

"Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat antara 1,620 hingga 1,650 sepanjang minggu ini,” kata Thong kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM10.02, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.37, Tenaga Nasional menokok lapan sen kepada RM13.36, IHH Healthcare menambah 22 sen kepada RM8.35, manakala CIMB susut satu sen kepada RM7.67.

Dalam kalangan kaunter aktif, KNM Group susut 2.5 sen kepada setengah sen, manakala Borneo Oil dan NexG masing-masing tidak berubah pada setengah sen dan 52 sen. V.S Industry berkurang dua sen kepada 55 sen, manakala Tanco turun sedikit sebanyak setengah sen kepada 88.5 sen.

Selain IHH Healthcare, kaunter paling untung yang lain ialah PPB Group yang naik 30 sen kepada RM10.52, Nestle meningkat 28 sen kepada RM97.30, Petronas Gas menokok 24 sen kepada RM18.82, PIE Industrial menambah 23 sen kepada RM3.49 dan Kuala Lumpur Kepong melonjak 20 sen kepada RM20.40.

Kaunter rugi pula ialah KSL Holdings dan Petronas Dagangan yang masing-masing susut 34 sen kepada RM2.99 dan RM23.04; Malaysian Pacific Industries turun 22 sen kepada RM31; Allianz Malaysia berkurangan 20 sen kepada RM17.80 dan Far East Holdings susut 15 sen kepada RM4.10.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 0.75 mata kepada 12,180.92, Indeks FBM 100 naik 3.51 mata kepada 11,912.47 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 3.98 mata kepada 12,197.71.

Indeks FBM 70 susut 75.78 mata kepada 17,014.42, manakala Indeks FBM ACE berkurangan 13.65 mata kepada 5,333.47.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.83 mata kepada 173.52, Indeks Tenaga berkurangan 1.53 mata kepada 786.13, Indeks Perladangan menambah 23.39 mata kepada 7,820.03, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 33.51 mata kepada 18,635.91.

Dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 1.99 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 2.49 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.12 bilion unit bernilai RM154.52 juta berbanding 933.77 juta unit bernilai RM152.93 juta pada minggu lepas.

Dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 573.35 juta saham bernilai RM182.53 juta daripada 603.87 juta saham bernilai RM188.69 juta sebelum ini.

Di Pasaran Utama, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna merekodkan dagangan sebanyak 296.34 juta saham, diikuti produk perindustrian dan perkhidmatan (401.58 juta), pembinaan (117.51 juta), teknologi (332.71 juta), perkhidmatan kewangan (54.40 juta), hartanah (178.36 juta), perladangan (17.65 juta), REIT (19.05 juta), dana tertutup (58,600), tenaga (329.16 juta), penjagaan kesihatan (102.93 juta), telekomunikasi dan media (63.92 juta), pengangkutan dan logistik (39.57 juta), utiliti (40.48 juta) dan amanah perniagaan (119,200).- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE