KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Langkah penstrukturan fiskal dan pengurusan kewangan berhemah kerajaan mula menampakkan hasil apabila defisit negara berkurangan hampir RM12 bilion pada tahun 2024.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad, pencapaian ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan dasar fiskal kerajaan berada di landasan yang betul.
"Bagi tahun 2025, sebanyak 1,800 badan dan syarikat tambahan telah dikenal pasti untuk diaudit melalui platform dalam talian baharu yang dikenali sebagai Self e-Audit.
"Platform ini akan memberi tumpuan kepada tiga elemen utama iaitu menilai pencapaian standard serta objektif penubuhan syarikat, memastikan pematuhan terhadap sistem dan etika tadbir urus sedia ada, serta memperkukuh kecekapan pelaporan kewangan," katanya ketika dihubungi RTM.
Kejayaan menurunkan defisit dan memperkukuh kedudukan fiskal ini memberi ruang lebih luas untuk tumpuan kepada pertumbuhan inklusif dan pembangunan jangka panjang.
Laporan Audit oleh Ketua Audit Negara dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa prestasi kewangan negara bagi tahun 2024 berada pada kedudukan lebih kukuh dan stabil berbanding tahun 2023.
Defisit negara menunjukkan penurunan daripada RM90 bilion pada 2023 kepada RM78 bilion pada 2024.
Manakala nisbah defisit berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun kepada 4.1 peratus berbanding 5.0 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus melepasi sasaran Belanjawan 2024 iaitu 4.3 peratus.