LONDON, 11 September- Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berharap kewangan Islam dapat diterima dan digunakan secara lebih meluas sebagai pemacu usaha peralihan kepada ekonomi yang lebih lestari.
Bercakap kepada lebih 140 peserta di Forum Perniagaan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)-United Kingdom (UK) 2024 di sini hari ini, beliau juga menegaskan bahawa prinsip-prinsip seperti keadilan, keterangkuman, daya tahan dan kelestarian merupakan nilai-nilai amat penting dalam landskap ekonomi masa kini.
“Kita menyaksikan banyak aliran memasuki pelaburan berkualiti tinggi yang selaras dengan aspirasi pelaburan negara, termasuk meningkatkan kompleksiti ekonomi Malaysia lantas mendorong aktiviti dengan nilai tambah yang tinggi, menjana pekerjaan berpendapatan tinggi serta mewujudkan jalinan ekonomi kukuh di dalam negara serta di peringkat global.
“(Pada masa sama) kita juga mendapati kewangan mampan dan kewangan Islam sebagai pemacu penting untuk memenuhi keperluan pendanaan ekonomi serta berfungsi sebagai gerbang antarabangsa bagi pelaburan patuh Syariah untuk pasaran Asia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.
Forum Perniagaan MIFC-UK yang bertujuan mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dengan UK bagi menggalakkan pelaburan rentas sempadan khususnya dalam sektor hijau, dianjurkan bersama oleh BNM dan Majlis Kepimpinan MIFC (MLC) serta Majlis Kewangan Islam United Kingdom (UKIFC), TheCityUK dan UK Islamic Finance - Halal Economy Hybrid Group sebagai rakan kerjasama.
Menjelaskan selanjutnya, Abdul Rasheed berkata kewangan Islam di Malaysia berteraskan strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan rangka kerja Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab.
“BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bekerjasama secara aktif untuk menyepadukan kewangan Islam dengan inisiatif kewangan hijau dan mampan bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor pertumbuhan baharu.
“Pembangunan ini dibina atas kemajuan yang dicapai selama lebih empat dekad (sejak kewangan Islam diperkenalkan di Malaysia) dalam membangunkan ekosistem kewangan yang progresif, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rasheed juga berharap forum berkenaan dapat mencapai jalinan pelaburan rentas sempadan yang lebih kukuh sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan peluang pelaburan.
Sementara itu, BNM dalam kenyataannya berkata forum perniagaan itu berperanan sebagai pemangkin untuk mengukuhkan kerjasama antara MLC dengan UKIFC bagi melaksanakan Memorandum Kerjasama yang ditandatangani pada Forum Ekonomi dan Kewangan Islam Global (GFIEF) pada Mei 2024.
“Kerjasama ini diharap dapat saling memperkukuh kedudukan kedua-dua negara. Ini boleh dicapai dengan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai gerbang global untuk peluang kewangan Islam bagi pasaran Asia dan OIC serta UK sebagai pusat kewangan global,” katanya.- BERNAMA