fb fb fb fb fb

Kerajaan optimis ringgit kembali mengukuh, didorong pertumbuhan ekonomi lebih baik

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 29 Februari - Kerajaan optimis ringgit dijangka kembali mengukuh tahun ini didorong pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik berbanding tahun lalu. Ringgit dijangka diniagakan pada RM4.50 berbanding dolar AS pada akhir 2024.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia untuk meningkatkan aliran masuk wang ke dalam pasaran pertukaran asing bagi mengukuhkan nilai ringgit.

"Kementerian Kewangan dan BNM telah mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran mata wang asing khususnya.

"Kami memperkasakan lagi usaha bersama syarikat- syarikat berkaitan kerajaan bagi menggalakkan mereka membawa pulang pendapatan pelaburan asing dan menukar pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Amir Hamzah, prospek pelaburan mencecah RM329.5 bilion yang diluluskan tahun lalu turut menjadi asas pengukuhan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN