fb fb fb fb fb

Kerajaan akan umum pelan rasionalisasi subsidi - Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pelan rasionalisasi subsidi akan diumumkan beberapa minggu lagi/Foto Facebook Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 25 April - Kerajaan akan mengumumkan pelan rasionalisasi subsidi tidak lama lagi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Ia termasuk butiran mengenai mekanisme, kriteria dan implikasi pelaksanaan pelan terbabit.

Rafizi berkata jika dasar rasionalisasi subsidi kerajaan berjaya penjimatan boleh dialihkan kepada bantuan sosial, di samping menjana penjimatan fiskal.

"Kerajaan akan mengambil langkah penyelarasan dan persediaan terbaik bagi memastikan pengagihan subsidi yang saksama.

"Sehubungan itu, kerajaan mengutamakan penyelarasan dan persediaan untuk sesuatu yang sebesar ini.

"Kerajaan tahu apa mekanisme, ia belum lagi dimaklumkan kerana kita mahu menguruskan komunikasi tersebut.

"Ini memberikan kita lebar jalur yang mencukupi untuk akhirnya melaksanakan rasionalisasi subsidi dan peralihan daripada model regresif subsidi menyeluruh.

"Dengan tahap data berbutir yang diperlukan ini, kami boleh meminimumkan kedua-dua ralat untuk pengecualian dan kemasukan. Dan memastikan pengagihan subsidi yang saksama kepada mereka yang paling memerlukannya," katanya ketika berucap semasa pelancaran Malaysia Economic Monitor ke-29 oleh Bank Dunia bertajuk Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills di sini, pada Khamis.

Sementara itu, laporan Malaysia Economic Monitor oleh Bank Dunia menekankan prospek pertumbuhan jangka panjang Malaysia, yang sangat bergantung pada pengukuhan modal insan dengan meningkatkan hasil pembelajaran untuk kanak-kanak.

Ujar beliau, sebanyak empat laporan yang disyorkan untuk meningkatkan hasil pembelajaran kanak-kanak.

Ini termasuklah memastikan semua kanak-kanak mendapat manfaat daripada pendidikan prasekolah yang berkualiti tinggi.

"Ia bukan sahaja pendidikan prasekolah malah berada di sekolah rendah dalam keadaan bersedia untuk belajar.

"Selain meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak dan kualitinya untuk isi rumah berpendapatan rendah," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN