fb fb fb fb fb

Kenanga Research naikkan unjuran KDNK suku ke-4 2025 Malaysia kepada 5.0 %

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Kenanga Research menaikkan unjuran bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku keempat 2025 kepada 5.0 peratus, berbanding anggaran awal 4.0 peratus.

Unjuran itu dibuat berdasarkan prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan di sebalik petunjuk eksport yang lebih rendah.

Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya berkata, semakan naik itu meningkatkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan tahun 2025 kepada 4.8 peratus.

“Walaupun kelembapan eksport pada November menandakan penurunan dalam jangka terdekat, kami menjangkakan pemulihan menjelang musim Tahun Baharu Cina,” katanya.

''Potensi kesan daripada langkah tarif Amerika Syarikat dijangka hanya akan dirasai tahun hadapan, sekali gus mengehadkan risiko penurunan serta-merta terhadap pertumbuhan pada 2025,'' katanya.

Mengenai prestasi perdagangan, bank pelaburan itu berkata pertumbuhan eksport mereda kepada 7.0 peratus pada November daripada 15.7 peratus pada Oktober iaitu kadar paling perlahan dalam tempoh tiga bulan.

Dari segi bulan ke bulan, eksport merosot 5.6 peratus berbanding peningkatan 6.7 peratus pada Oktober, sejajar dengan trend bermusim memandangkan November lazimnya mencatatkan pertumbuhan yang lebih sederhana.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan import mengukuh, didorong terutamanya oleh peningkatan import barangan modal serta barangan perantaraan.

ROSLINA BINTI DIN