PUTRAJAYA, 22 Disember -Inflasi Malaysia meningkat 1.4 peratus pada November 2025, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatat 135.1 mata berbanding 133.3 mata bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan itu dipacu terutamanya oleh kumpulan Pendidikan, Minuman Alkohol dan Tembakau, serta Pengangkutan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, 61.1 peratus item dalam IHP merekodkan kenaikan harga.
Namun, hampir 98 peratus daripadanya meningkat pada kadar 10 peratus dan ke bawah, menunjukkan tekanan harga kekal terkawal.
"Kumpulan Makanan dan Minuman, yang menyumbang 29.8 peratus wajaran IHP, meningkat 1.5 peratus, didorong kenaikan harga ikan dan makanan laut, minyak dan lemak, buah-buahan serta daging.
Namun, harga sayur-sayuran terus mencatatkan penurunan," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, inflasi Minuman Alkohol dan Tembakau meningkat ketara susulan pelarasan duti eksais rokok dalam Belanjawan 2026.
Inflasi kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain pula menunjukkan penyederhanaan berikutan pelarasan tarif elektrik serta pelaksanaan subsidi terpilih.
Dari segi negeri, Johor dan Negeri Sembilan merekodkan kadar inflasi tertinggi pada 1.9 peratus, manakala Kelantan mencatatkan kadar terendah iaitu 0.2 peratus.
Pada peringkat serantau, inflasi Malaysia kekal lebih rendah berbanding Viet Nam, Indonesia dan Korea Selatan, namun lebih tinggi berbanding China dan Thailand.