fb fb fb fb fb

Bank sekat had transaksi, pengguna digesa kemas kini peranti

ABM dan AIBIM saran pelanggan untuk memastikan pelayar web dan peranti mudah alih menggunakan sistem operasi versi terkini

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menyarankan pelanggan untuk memastikan pelayar web dan peranti mudah alih mereka menggunakan sistem operasi versi terkini.

ABM dan AIBIM menerusi kenyataan bersama menegaskan, langkah itu penting bagi melindungi akaun pengguna daripada ancaman siber terutamanya aktiviti penipuan dalam talian.

''Setelah mengemas kini kepada versi terkini, pelanggan akan menerima lapisan keselamatan terbaharu sekali gus memperkukuh perlindungan terhadap ancaman siber dan perisian hasad.

“Peranti yang menggunakan versi lama atau tidak lagi disokong lebih terdedah kepada ancaman dan mungkin tidak lagi menerima kemas kini keselamatan penting daripada pembangun seperti Apple, Google dan Mozilla,” menurut kenyataan itu.

Bagi mengurangkan risiko perisian hasad, bank-bank mungkin memperkenalkan langkah pengesahan tambahan, mengurangkan had transaksi, atau mengenakan sekatan lain terhadap pelanggan yang menggunakan versi yang tidak disokong.

Bank-bank juga boleh menyekat secara proaktif transaksi yang berpunca daripada versi tersebut bagi melindungi pelanggan, memandangkan lapisan perlindungan tambahan tersebut membantu meningkatkan keselamatan, melindungi dana serta menjamin ketenangan fikiran pelanggan.

Mereka juga digalakkan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 atau talian khusus penipuan oleh bank masing-masing untuk mendapatkan bantuan.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN