fb fb fb fb fb

Kementerian Digital sasar nilai eksport RM300 juta

Gobind Singh Deo

SUBANG JAYA, 6 September- Kementerian Digital menyasarkan nilai eksport digital sebanyak RM300 juta menjelang tahun 2026, kata Menterinya Gobind Singh Deo.

Gobind berkata sasaran berkenaan adalah susulan kejayaan 20 syarikat teknologi Malaysia yang telah memasuki pasaran India melalui kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM).

Kedua-dua organisasi terbabit akan memulakan misi perniagaan ke India pada pertengahan November ini untuk mempromosikan kerjasama Malaysia-India melalui ekosistem digital.

"Mengambil kira kemahiran yang ada dalam aspek bakat, khususnya dengan fokus kepada teknologi baru dan industri sedia ada di Malaysia, kita perlu bergerak ke depan dengan menggunakan bakat ini sebagai pedoman yang boleh dicontohi oleh pemain industri lain," katanya ketika berucap pada perasmian Malam Gala Anugerah Kecemerlangan Digital PIKOM 2024 malam tadi.

Gobind juga menyeru syarikat teknologi di negara ini untuk turut serta dalam misi perniagaan ke India bagi meningkatkan nilai eksport pada masa akan datang.

Beliau turut memaklumkan bahawa ekonomi digital menyumbang 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023 dan dijangka mencapai 25.5 peratus menjelang tahun 2025.

"Ekonomi digital adalah pendorong utama di sebalik aspirasi kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang berasaskan digital. Ia merupakan asas kepada industri, mentransformasikan perniagaan dan akhirnya meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia," tambah beliau.

SITI AISHAH MD ISA