KUALA LUMPUR, 3 Jun - Kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia seperti dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini bersifat sementara dan fleksibel berikutan impak ekonomi global.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi Dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr. Leylawati Joremi berkata rakyat tidak perlu bimbang sebaliknya bersama-sama berperanan menyokong polisi kerajaan serta mengutamakan pembelian produk tempatan.
"Rakyat domestik akan lebih menggunakan barangan tempatan kerana barangan import secara relatif lebih mahal, maka pertumbuhan ekonomi tempatan akan meningkat secara tidak langsung, itu adalah kesan yang baik kepada negara.
"Kita tidak boleh kata penurunan nilai ringgit mempunyai kesan negatif, tidak ia ada kesan positif dan kesan negatif, jadi macamana kerajaan hendak menyeimbangkannya itu, melalui polisi," katanya ketika ditemui pemberita di Angkasapuri, di sini.
Tambah Dr. Leylawati, kerajaan juga bersedia menumpukan pelaksanaan polisi fiskal dan monetari bagi tujuan mengurangkan kos sara hidup.
Nilai ringgit dijangka kembali kukuh berikutan peningkatan nilai eksport, susulan penurunan nilai ringgit ketika ini.