fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR, 3 Jun - Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan lebih tinggi minggu depan, seiring dengan prestasi positif niaga hadapan emas Comex Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak menaikkan kadar faedah pada mesyuarat bulan ini.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata peningkatan data penggajian bukan perladangan AS yang lebih tinggi daripada jangkaan awal, juga tidak akan membawa sebarang perubahan bagi kadar Jun susulan petunjuk kukuh daripada pihak Fed.

“Berikutan itu, harga emas berkemungkinan besar bergerak dengan mencatat peningkatan kecil (dalam masa terdekat) ketika pihak Fed dijangka menangguhkan dasar (kenaikan kadar faedah) pada Jun,” katanya.

Laporan Biro Statistik Tenaga Kerja AS (BLS) pada Jumaat menunjukkan penggajian bukan perladangan melonjak sebanyak 339,000 bagi Mei 2023 yang melepasi jangkaan pasaran sebanyak 195,000.

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan emas domestik diniagakan kebanyakannya tinggi dengan mencatat sebanyak 114 lot.

Secara perbandingan mingguan pula, bulan semerta Jun 2023 naik kepada US$1,985.60 daripada US$1,960.70 pada minggu sebelumnya.

Kontrak bagi Julai 2023, Ogos 2023, Oktober 2023 dan Disember 2023 masing-masing meningkat pada US$1,994.70 setiap troy auns berbanding US$1,960.70 pada minggu lepas.

Harga emas fizikal berada pada US$1,974.35 setiap troy auns seperti mana penetapan oleh London Bullion Market Association pada tengah hari 1 Jun, 2023.- BERNAMA

Media Baharu