fb fb fb fb fb

Kegiatan pengambilan untung dorong Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 7 November- Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi urus niaga Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana selepas mencatatkan kenaikan kukuh semalam.

Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.92 mata kepada 1,460.75 daripada penutupan Isnin pada 1,464.67.

Indeks penanda aras dibuka 0.62 mata lebih rendah pada 1,464.05.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 214 berbalas 152, manakala 290 kaunter tidak berubah, 1,692 tidak diniagakan dan tujuh digantung.

Jumlah dagangan 329.98 juta unit bernilai RM140.34 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pengumpulan saham akan berterusan terutamanya daripada dana asing.

Dalam pada itu, indeks penanda aras dijangka berlegar dalam julat 1,460-1,470 hari ini dan mungkin melepasi paras 1,500 tidak lama lagi.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare meningkat tiga sen kepada RM6.04, Hong Leong Bank menambah empat sen menjadi RM19.32, Maybank tidak berubah pada RM9.11, Public Bank susut lima sen kepada RM5.76, Petronas Chemicals lemah enam sen menjadi RM7.28 dan TNB turun satu sen kepada RM9.99.

Bagi saham aktif, EA Technique mengembang 3.5 sen kepada 37.5 sen, Ranhill dan Salutica, kedua-duanya menambah tiga sen kepada 91 sen dan 85 sen, dan CN Asia berkurangan setengah sen kepada 18.5 sen.

Sementara itu, Econpile dan Tanco tidak berubah pada 31.5 sen dan 57 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 22.38 mata kepada 10,787.05, Indeks FBMT 100 menguncup 22.26 mata untuk mencatatkan paras 10,451.37 dan Indeks FBM Emas Syariah kerugian 22.26 mata kepada 10,990.63.

Indeks FBM 70 susut 4.94 mata kepada 14,235.87 dan Indeks FBM ACE turun 4.48 mata kepada 5,118.39.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 0.57 mata kepada 172.60, Indeks Perladangan turun 21.84 mata menjadi 6,968.81, Indeks Tenaga susut 0.38 mata kepada 876.09, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 27.73 mata kepada 16,428.09.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE