fb fb fb fb fb

Kebimbangan kekurangan bekalan getah bantu sokong harga SMR 20

Harga Getah Standard Malaysia (SMR 20) melonjak pada Isnin berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kekurangan bekalan berikutan cuaca panas di negara pengeluar getah asli utama / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 8 April - Harga Getah Standard Malaysia (SMR 20) melonjak pada Isnin berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kekurangan bekalan berikutan cuaca panas di negara pengeluar getah asli utama, kata seorang peniaga.

Peniaga itu berkata pembeli dilihat menyimpan stok SMR 20 selepas Jabatan Perangkaan mengumumkan pengeluaran getah asli Malaysia menyusut sebanyak 2.0 peratus kepada 29,691 tan metrik pada Februari 2024 daripada 30,287 tan metrik yang disaksikan pada bulan sebelumnya.

“Aliran menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau serta ringgit yang lebih lemah turut memberikan sedikit sokongan kepada harga SMR 20.

“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh kejatuhan dalam harga minyak mentah dan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik, ini menjejaskan harapan untuk penurunan kadar Rizab Persekutuan AS,” katanya kepada Bernama.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 melonjak 23.5 sen kepada 784.5 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 741 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 berada pada 782 sen sekilogram manakala lateks pukal mencecah 743.5 sen sekilogram.

Pasaran Kuala Lumpur akan ditutup mulai 9 hingga 11 April 2024, sempena sambutan Aidilfitri dan akan dibuka semula menjelang 12 April 2024.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN