KUALA LUMPUR, 20 Disember – Kadar kebergantungan tinggi terhadap import makanan dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada tekanan inflasi makanan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ISRA International Consulting merangkap anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid, berkata pergantungan kepada bekalan luar negara menyebabkan harga makanan tempatan mudah terdedah kepada pelbagai faktor luaran.
Menurut beliau, faktor seperti pergerakan nilai mata wang, perubahan cuaca global serta dasar eksport negara pengeluar memberi kesan langsung terhadap harga makanan yang diimport.
Dalam keadaan keterjaminan makanan domestik yang terhad, gangguan bekalan global turut memberi kesan kepada harga makanan tempatan, sekali gus meningkatkan komponen makanan dalam inflasi, yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada kos sara hidup rakyat.
“Apabila keterjaminan makanan tidak mencukupi, harga makanan akan lebih dipengaruhi faktor luaran seperti nilai ringgit, keadaan cuaca dan keputusan negara pengeksport.
“Sebaliknya, jika keterjaminan makanan domestik lebih kukuh, khususnya bagi barangan kritikal seperti cili, bawang dan beras, lebih banyak faktor penentu harga dapat dikawal dan ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam program Biz Malaysia.
Mengulas lanjut, Dr. Mohamed Eskandar berkata sektor pertanian tempatan perlu diperkasakan melalui penambahbaikan struktur pekerjaan bagi menarik minat golongan muda, selain mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
Katanya, langkah tersebut penting bagi menggalakkan peralihan kepada penggunaan teknologi pertanian yang lebih meluas dan berkesan.
Beliau turut menegaskan bahawa keberkesanan teknologi pertanian bergantung kepada tahap penerimaan dan pelaksanaannya, termasuk bagaimana insentif yang disediakan dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian negara.