KUALA LUMPUR, 20 Disember - Bursa Malaysia dijangka bergerak stabil minggu depan, mengekalkan momentum kenaikan terkini dan diniagakan dalam jajaran kecil apabila sebahagian pelabur mengambil untung jangka pendek susulan prestasi kukuh yang dicatatkan pada minggu ini.
Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, indeks petunjuk pasaran itu meningkat 61.43 mata atau 3.83 peratus setakat bulan ini, termasuk kenaikan 1.72 peratus minggu ini.
Walaupun keadaan pendanaan domestik kekal stabil, jumlah dagangan dijangka berkurangan berikutan sesi dagangan yang lebih pendek menjelang cuti Krismas dan akhir tahun.
Pasaran juga mungkin menunjukkan kecenderungan yang lebih perlahan apabila para pelabur menilai semula pegangan mereka menuju ke minggu-minggu terakhir tahun ini.
Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi, meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 bulan dan mengatasi paras 1,660.09 yang dicatatkan pada 27 September 2024.
Keadaan itu disokong oleh sentimen domestik yang semakin baik menjelang pengimbangan semula portfolio akhir tahun.