fb fb fb fb fb

Dasar berasaskan data perkukuh kestabilan ekonomi negara

Dasar berasaskan data perkukuh kestabilan ekonomi negara / Foto Fail

 KUALA LUMPUR, 21 Disember - Pendekatan dasar berasaskan data serta kesinambungan pembaharuan struktur yang dilaksanakan oleh Malaysia dilihat berupaya mengukuhkan kestabilan ekonomi negara dan meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur.

Menurut Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin, pendekatan tersebut memastikan keputusan dasar ekonomi dibuat berdasarkan petunjuk sebenar seperti inflasi, pasaran buruh dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus menjadikan pelaksanaan dasar lebih konsisten, fleksibel dan mudah dijangka.

"Setiap polisi ekonomi kini tidak lagi digubal berdasarkan formula tetap atau andaian semata-mata, sebaliknya bertindak balas secara berkadar terhadap data ekonomi semasa.

"Pendekatan ini mengurangkan risiko kejutan perubahan mendadak terhadap inflasi dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi serta keyakinan rakyat dan sektor perniagaan," katanya.

Tambah beliau, bagi memastikan momentum prestasi ekonomi terus kekal kukuh, pengurusan fiskal yang berhemat serta pelaksanaan perlindungan sosial bersasar merupakan antara keutamaan utama bagi mengukuhkan kedudukan kewangan awam.

Ia sekali gus membolehkan kerajaan bertindak secara berkesan ketika berdepan sebarang krisis ekonomi.

Beliau turut menegaskan, peningkatan produktiviti dan pembangunan sektor bernilai tinggi penting bagi membolehkan ekonomi negara menjana nilai tambah, menyokong pertumbuhan yang mampan serta mengekalkan keyakinan pelabur dalam jangka sederhana dan panjang.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)
sebelum ini menilai ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan global, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pasaran buruh yang stabil serta pengurusan fiskal yang berhemat.

Tabung kewangan itu turut menggesa Malaysia meneruskan pendekatan dasar berasaskan data dan pembaharuan struktur bagi mengukuhkan asas ekonomi, memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif serta mengekalkan keyakinan pelabur dalam persekitaran global yang mencabar.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN